Wednesday, November 5, 2008

apA adA dGn cInTa???

Bukan mudah hendak mengubah persepsi masyarakat tentang cinta. Sekian lama kita membentuk satu tanggapan dalam fikiran bahawa cinta adalah pra-syarat perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu mesti didahului oleh hubungan cinta. Ada 'dating', hubungan telefon,'chatting', dan lain-lain. Bila dikatakan ada keindahan cinta selepas perkahwinan, kita menganggap janggal kerana ia berbeza dari persepsi kita tentang cinta. Oleh itu bermacam-macam persoalan timbul. Bolehkah bahagia bila berkahwin tidak didahului hubungan cinta? Bolehkah serasi? Dan bermacam persoalan lagi. Mungkin kerana itulah agaknya ramai yang menganggap kehangatan cinta akan mendingin selepas berkahwin lalu mereka ingin menikmati cinta itu sepuas-puasnya sebelum perkahwinan. Dan ada yang mengambil masa yang cukup panjang untuk bercinta sebelum berkahwin, kononnya mencari keserasian agar cinta terus berkekalan setelah mendirikan rumah tangga.
Bercinta sebelum kahwin mempunyai berbagai risiko yang bukan sekadar zina mata dan hati, malah zina yang lebih besar yang boleh mengganggu jiwa.Perkara ini adalah ditegah dalam Islam berdasarkan firman Allah SWT:


"Dan janganlah kamu menghampiri zina;(zina) itu sungguh, suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk" (Surah Al-Isra':ayat 32)

Hal ini kerana,cinta sebelum kahwin kebiasaannya bersalut nafsu dan syaitan. Dalam keadaan sebegini bagaimana mungkin kita memiliki khusyuk dalam sembahyang kalau diri diselaputi iblis dan syaitan?? Apabila hati kita diisi oleh cinta manusia dan nafsu, tiada tempat untuk cinta Allah. Oleh yang demikian Islam amat menekankan kawalan terhadap hati agar tidak mudah terpesong meletakan neraca perasaan cinta kepada yang bukan hak melalui amalan seperti doa dan sebagainya. Antara doa yang patut diamalkan :

" Ya Allah, kurniakanlah aku cinta- Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu serta cinta kepada segala amalan yg mendekatkan diriku kepada-Mu"

Doa ini wajar diamalkan supaya kita faham erti cinta yang menjadikan kita cinta kepada Allah atau menjadikan cinta kepada orang yang hampir dengan Allah. Jika seseorang itu cinta kepada manusia, ia mestilah cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah dan memperbanyakkan amalan yang dicintai Allah.
Kadang-kadang, apabila ditanya, ada juga golongan yang bercinta sekadar untuk berseronok-seronok.Mereka merasa janggal hidup tanpa "special boy/girl friend" kerana dikelilingi oleh teman-teman yang "sudah berpunya".Bagi golongan ini, janganlah rasa rendah diri dan janggal dalam masyarakat hanya kerana anda mempertahankan pendirian anda dan kehendak syariat, yang tidak pernah menghalalkan percintaan sebelum berkahwin.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama muhasabah diri masing-masing.Kepada yang telah mempunyai calon (atau dalam erti kata lain sedang ber''couple'') putuskanlah hubungan jika tiada matlamat dan tujuan.Jika anda telah benar-benar bersedia untuk berumah tangga, segerakanlah agar tidak bercampur dengan maksiat dan dosa.Gunakanlah saluran yang betul agar adab dan syariat terpelihara.Janganlah terpedaya dengan bisikan nafsu dan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.Ingatlah! kehidupan dunia hanya sementara, kerana akhirat lebih utama.

"Barangsiapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi),maka Kami segerakan baginya di (dunia) ini apa yang kami kehendaki.Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam;dia akan memasukinya dalam keadaan tercela & terusir."
"dan barangsiapa menghendaki kehidupan akhirat dan beruaha kearah itu dengan bersungguh-sungguh,sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik" (Al-Isra' : 18&19)

~Marilah kita dekatkan semula keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta cinta.~

No comments: